KUCHING: Kebergantungan masyarakat kepada teknologi bukan halangan untuk generasi muda meningkatkan semangat patriotisme tinggi dalam diri mereka.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini kerana media sosial boleh dijadikan sebagai medium untuk menularkan perayaan penting seperti Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia dan Hari Sarawak.
Menurutnya, generasi muda sekarang amat cenderung untuk melayari internet dan mereka juga perlu dibawa bersama untuk menjadi sebahagian daripada sejarah negara.
“Untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan anak muda, kita perlu menggunakan pendekatan yang selari dengan minat mereka.
“Kalau tidak dapat buat program, kita boleh memaparkan maklumat secara maya atau atas talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Lagu Patriotik Secara Atas Talian Sempena Sambutan Hari Malaysia 2021 hari ini.
Pertandingan anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai itu disertai 12 peserta.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, pertandingan lagu patriotik juga satu lagi cabang untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
“Selain dapat mempamerkan bakat nyanyian, anak muda yang terlibat juga dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam diri mereka,” ujarnya.
Selain sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia katanya, program dan aktiviti juga boleh diadakan bagi memperingati Hari Sarawak yang berlangsung 22 Julai setiap tahun.
“Hari Sarawak sudah digazet sebagai perayaan rasmi dan kita perlu juga meraikannya,” jelasnya.
Hadir sama Ketua Wanita PBB Cawangan Pantai Damai Dayang Nora Awang Sabudin.