IPOH, 15 Okt : Akibat cemburu, seorang pesara tentera mati dibunuh dengan kejam apabila mayatnya ditemui dengan sembilan kesan tikaman pada Rabu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima laporan mangsa yang berusia 42 tahun dilarikan secara paksa oleh dua suspek di hadapan rumahnya di Taman Ngah Ibrahim, Taiping pada pukul tiga petang Isnin lepas.
Ujarnya, siasatan mendapati mangsa dilarikan oleh dua lelaki yang dikenalinya pada pukul tiga petang sehari sebelum laporan diterima.
” Bertindak atas maklumat, polis telah menahan dua lelaki yang merupakan seorang anggota tentera berusia 34 tahun dan seorang lagi berusia 31 tahun yang bekerja sendiri.
” Hasil soal siasat, kedua-dua suspek telah membawa polis ke Bukit Sumpitan, Selama yang dipercayai menjadi lokasi mangsa dibunuh pada hari kejadian,”katanya menerusi kenyataan media.
Katanya, pemeriksaan pasukan forensik mendapati terdapat lima kesan tikaman di bahagian belakang badan dan empat pada bahagian depan.
Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada masalah cemburu salah seorang suspek yang menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
” Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun , Ipoh untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seskyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 20 Oktober ini. -TVS