MELAKA, 14 Okt : Seorang lelaki yang juga penjawat awam dan seorang pelajar perempuan ditahan polis bagi membantu kes siasatan penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menerusi Twitter baru – baru ini.
Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu berkata, penjawat berusia 35 tahun dan pelajar berusia 21 tahun itu ditahan pada 7 Oktober lalu di Daerah Melaka Tengah.
Katanya, Bahagian Siasatan Khas Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah turut merampas dua buah telefon bimbit milik suspek.
” Polis menerima laporan yang dibuat oleh seorang lelaki mengenai kes ini dan tangkapan dilakukan pada hari yang sama.
” Semakan mendapati kedua -dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. -TVS