KANGAR, 13 Okt — Seorang suri rumah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan penularan jangkitan COVID-19, April lepas.
Nor Sakinah Razelan, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Musyiri Peet dan dia juga berdepan hukuman penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Nor Sakinah didakwa menggunakan aplikasi status WhatsApp melalui nombor yang didaftarkan atas namanya, dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar pada 10.31 pagi, di Lot 8664 Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau, 18 April lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Mohd Nordin Ismail memohon supaya Nor Sakinah yang mempunyai tiga anak dikenakan hukuman setimpal di atas perbuatannya sebagai pengajaran kerana memuat naik berita yang tidak sahih dan benar mengenai penularan COVID-19.
Peguam Mohd Hapiz Rajali yang mewakili Nor Sakinah merayu agar hukuman diringankan memandangkan tertuduh tidak bekerja manakala suaminya hanya seorang buruh selain menanggung perbelanjaan perubatan seorang anak lelakinya berusia tujuh tahun yang menghidap sakit buah pinggang.
— BERNAMA