KUCHING, 13 OKTOBER: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk semua penduduk di Sarawak mulai 13 Oktober 2021.
Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Rosemawati Ariffin, pemberian dos berkenaan merupakan antara usaha untuk memberi perlindungan tambahan kepada golongan rentan di negeri ini.
“Golongan ini adalah dalam kalangan mereka yang bermasalah dengan sistem imum yang mana dua dos sahaja tidak cukup untuk memberi mereka perlindungan atau meransang sistem imun untuk melawan jangkitan COVID-19.
“Dos vaksin ketiga COVID-19 didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut (Primary vaccine series).” jelasnya.
Sementara itu bagi dos penggalak vaksin COVID-19 pula merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut (Primary vaccine series) tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.
“Primary Vaccine Series didefinisikan sebagai rangkaian dos vaksin yang diberikan secara berturut-turut untuk mencapai tindak balas awal imun pelindungan di kalangan 12 populasi sasaran untuk tempoh masa yang ditetapkan (yang paling sesuai diukur sebagai kadar seroprotection-vaksin dengan sasaran melebihi 95 peratus).”
Menjelas lebih lanjut, katanya, pihak kementerian telah meletakkan polisi mengenai dos ketiga dan dos penggalak pada masa ini bahawa vaksin Pfizer COVID-19 telah diluluskan sebagai dos penggalak.
Setakat ini, kelulusan telah diberikan untuk vaksin yang mempunyai fungsi serupa dengan vaksin yang telah diberikan secara berturut-turut di peringkat awal (Vaksinasi homolog).
“Selang tempoh dari dos terakhir vaksin COVID-19 untuk pemberian dos ketiga adalah sekurang-kurangya 28 hari selepas penerimaan dos kedua dan untuk dos penggalak adalah sekurang-kurangnya 6 bulan selepas dos kedua.”ujarnya.
Mengenai dos ketiga bagi golongan immunocompromise atau yang mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan yang dianggarkan seramai 11,900.
Manakala dos penggalak pula adalah warga emas yang berusi lebih 60 tahun seramai 80, 300 orang dan petugas barisan hadapan perubatan seramai 30, 340 orang.
“Untuk makluman orang ramai, pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID- 19 boleh didapati di klinik-klinik kesihatan kerajaan terpilih, hospital swasta dan klinik- klinik swasta.
“Bagi mereka yang layak, bolehlah menghubungi klinik-klinik tersebut
terlebih dahulu sekiranya ingin mendapatkan janji temu. Senarai nama klinik kesihatan kerajaan, klinik dan hospital swasta akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa melalui saluran media massa dan media sosial untuk memudahkan proses janji temu.” tambah Dr Rosemawati lagi.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berharap dengan pemberian dos ketiga dan dos penggalak ini khususnya kepada kumpulan berisiko tinggi akan dapat membawa Sarawak khususnya dan Malaysia amnya keluar daripada krisis pandemik ini dan mulai memasuki kehidupan suasana endemik.