KUALA LUMPUR, 13 Okt : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 akan diadakan pada Isnin depan.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalruddin Ishak berkata, mesyuarat berkenaan akan berlangsung pada 10 pagi di Melaka yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Katanya, mesyuarat berkenaan kelak akan membincangkan beberapa tarikh penting PRK termasuklah tarikh Writ Pilihan Raya, hari penamaan calon , hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan.
“Mesyuarat juga akan menyentuh tentang lain -lain persiapan bagi melaksanakan PRN serta sidang media akan diadakan selepas mesyuarat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lepas susulan Ketua Menteri,Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti berikutan tindakan empat Ahli Dewan Negeri (ADUN) blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinannya.
Berikutan itu, Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Proklamasi Pembubaran DUN negeri diwartakan pada 5 Oktober setelah Yang di-Pertua Negeri ,Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan dalam tempoh 60 hari. -TVS