Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Entara produk asal ari Sarawak

150 Usahawan kraf keluar bidang sepanjang pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Seratus lima puluh daripada 6,220 usahawan kraf yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia dilapor meninggalkan bidang itu sejak negara dilanda pandemik COVID-19 hingga 31 Ogos lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata mereka yang keluar daripada bidang itu sama ada bertukar sementara ke bidang lain atau sebilangan kecilnya bertukar kekal kerana dipengaruhi beberapa faktor seperti usia, kesihatan, peluang dalam bidang lain serta cabaran berdepan pandemik COVID-19.

Beliau berkata setakat ini terdapat 3,060 pengusaha berdaftar bagi Program Pengalaman Homestay Malaysia dan tidak dinafikan mereka kehilangan peluang menjana pendapatan di bawah program tersebut kerana aktiviti inap desa bergantung penuh kepada kehadiran pelancong.

“Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas menyaksikan perubahan landskap sosioekonomi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.

“Ia sekali gus memberi kesan kepada segenap lapisan masyarakat termasuk usahawan kraf dan pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Santhara Kumar menjawab pertanyaan Senator Datuk Isa Ab Hamid yang ingin tahu jumlah usahawan kraf tangan serta pelancongan inap desa yang terjejas akibat PKP selain sokongan disediakan kementerian berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata pendapatan daripada aktiviti inap desa merupakan pendapatan sekunder kepada pengusaha.

Katanya mengambil kira kebanyakan pengusaha mempunyai pendapatan primer lain hasil kegiatan atau kerja utama seperti peneroka, peladang dan nelayan, mereka masih mempunyai pendapatan namun hanya hilang peluang mendapatkan pendapatan lebih.

Menurut Santhara Kumar antara bantuan disalurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kepada pengusaha terlibat adalah dalam bentuk bukan kewangan seperti Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf, selain bantuan kewangan RM1.836 juta secara one-off atau sekali bayar di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan