KUALA LUMPUR, 12 Okt : Tiga lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah premis di Jalan Changkat Bukit Bintang yang mana video kejadian itu tular baru – baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 32 hingga 52 tahun.
Katanya, polis telah mengesan dua video berdurasi 37 saat dan 27 saat dimuatnaik oleh pemilik akaun Twitter NanManjoi8715 yang menunjukkan insiden pergaduhan berkenaan.
” Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seskyen 148 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka telah direman selama dua hari,” katanya menerusi kenyataan media.
Video berkenaan antara lain memaparkan beberapa lelaki berbalas pukulan selain seorang lagi bertindak mencampakkan kerusi dan terkena seorang lelaki dalam video berkenaan.
Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan selesai.
” Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600222 atau balai polis yang berhampiran,” katanya. -TVS