SIBU, 12 Okt: Seorang nelayan yang baru hendak turun ke laut terkejut besar apabil menemukan sekujur tubuh lelaki terapung di Sungai Batang Igan pada 11 Oktober 2021.
Mayat yang tidak diketahui identiti tersebut telah ditemukan nelayan itu di bawah perahu semasa hendak berlayar ke laut.
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu Assistant Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, pihak polis menerima panggilan kecemasan dalam jam 3 petang.
“Ada sebuah unit kereta peronda (MPV) Sibu terima panggilan kecemasan lalu terus ke tempat kejadian di sebuah dermaga di belakang Kem Sri Rejang (Rejimen 510 Askar Wataniah),”
“Polis telah mengambil keterangan nelayan tersebut selepas nelayan tersebut membawa polis ke lokasi mayat ditemukan,” katanya lagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Collin Babat turut berada di tempat kejadian.
Tatu simbol Nazi pada peha kiri si mati kini dikatakan menjadi cara pengecaman mayat tersebut untuk tujuan siasatan.
Mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Sibu bagi siasatan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kes atau mengenai orang hilang boleh terus ke balai polis yang berdekatan,” kata Stanley.-TVS