KUCHING, 12 Oktober: Berpaksikan keperluan rakyat, Belanjawan Sarawak 2022 bertemakan Bersatu Padu Membina Masyarakat Yang Berdaya Tahan, Inklusif Dan Progresif akan meneruskan bantuan BKSS 8.0 bernilai RM285.47 juta bagi meringankan beban rakyat yang terkesan pandemik COVID-19.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Belanjawan Sarawak 2022 seperti yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang bernilai RM10.136 bilion hari ini.
“BKSS akan diteruskan dengan peruntukan RM285.47 bilion yang merangkumi enam bulan pertama tahun 2022 menerusi beberapa inisiatif pertama.
“Ini termasuklah diskaun bil elektrik RM166.8 juta yang akan memberi manfaat kepada 647,000 penerima, diskaun bil air yang bernilai RM24.0 juta memberi manfaat kepada 646,131 penerima.
“Sementara itu, 50 peratus diskaun sewa HDC bernilai RM2.6 juta memberi manfaat kepada 3,200 penyewa dan pengecualian sewa kepada PKS (perusaha kecil dan sederhana) di sektor runcit yang beroperasi di premis milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai RM2.0 juta,” katanya pada sidang media Belanjawan Sarawak 2022.
Bantuan ini juga turut merangkumi diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai milik pihak berkuasa tempatan berjumlah RM1.7 juta yang memberi manfaat kepada 10,165 penyewa.
Seramai 1,752 pemilik dan pengusaha tambang juga mendapat manfaat dari bantuan ini setelah insentif sekali beri bernilai RM500 berdaftar dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), pengusaha van berlesen, pemandu teksi, pengusaha van dan bas sekolah di Sarawak yang berjumlah RM0.87 juta.
Turut diteruskan juga geran khas sekali beri sebanyak RM1,000 kepada 87,500 penjaja dan peniaga kecil melalui Sarawak Pay berjumlah RM87.5 juta, ujarnya.
Selain itu, Kerajaan Sarawak juga mengumumkan skim bantuan perumahan iaitu Skim Bantuan Deposit Rumah sebanyak RM10,000 untuk Golongan B40 dan M40 yang akan diuruskan oleh MUTIARA.
Skim yang boleh memberi manfaat kepada 1,200 pembeli ini boleh didapati menerusi projek rumah mampu milik yang diluluskan oleh kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Abang Johari juga mengumumkan pemberian satu setengah bulan bantuan khas kewangan untuk penjawat awam Negeri manakala bantuan khas kewangan berjumlah RM500 untuk penjawat awam Persekutuan di Sarawak.
Sementara itu, sebanyak RM 15 juta juga telah diperuntukkan bagi Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan yang akan memberi manfaat kepada nelayan di negeri ini manakala RM60 juta diagihkan kepada petani terutama yang terlibat dengan kelapa sawit dan lada.
Abang Johari turut mengumumkan belanjawan kali ini dijangka menghasilkan lebihan RM180 juta dengan anggaran hasil negeri pada tahun depan berjumlah RM10.012 daripada hasil kutipan cukai.
Jumlah ini merangkumi Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak RM4.742 bilion atau 47 peratus, hasil bukan cukai sebanyak RM4.999 bilion atau 50 peratus, penerimaan bukan hasil sebanyak RM16 juta dan geran kerajaan dan bayaran balik bernilai RM260 juta.
Jelas Abang Johari, daripada jumlah itu, RM7.509 bilion digunakan bagi tujuan pembangunan manakala selebihnya iaittu RM4.046 bilion digunakan bagi perbelanjaan pengurusan negeri