KUCHING, 11 Okt : Masyarakat khususnya anak Sarawak kini mula menarik nafas lega susulan pengumuman kebenaran merentas negeri bermula hari ini.
Kebanyakan mereka tanpa putus menzahirkan rasa syukur selain menyifatkan kelonggaran berkenaan yang diberikan khas untuk mereka yang sudah melengkapkan dos vaksin COVID-19 umpama satu hadiah yang amat bermakna.
Menurut seorang anak perantau, Oddey Xandria, kebenaran berkenaan ternyata membuktikan pihak kerajaan faham akan rintihan golongan bujang yang tinggal berjauhan daripada keluarga.
“Apa yang didoakan sudahpun tiba. Kerajaan ternyata tidak gagal dalam membantu rakyat dan menunaikan janji terutamanya kepada individu yang sudah lengkap divaksin. Saya juga tidak terkecuali dari senarai itu!,” katanya ketika ditemubual TVS menerusi aplikasi WhatsApp, pada Isnin.
Sementara itu, seorang lagi anak perantau, Alicia Amanda turut tidak melepaskan peluang menzahirkan rasa teruja untuk bertemu ahli keluarga dan sahabat handai di kampung.
“Sebagai seorang pelajar yang tergolong dalam kumpulan bujang, saya rasa keputusan ini telah tiba tepat pada masanya. Meskipun di Cheras ini, saya tidak kesunyian kerana ada juga rakan-rakan sekampung yang lain, tetapi kemeriahan suasana berkumpul bersama keluarga itu amat dirindui,” ujarnya ringkas.
Malah, Peaceca Cally yang telah menetap di Kuala Lumpur sejak lebih 10 tahun lalu bersama keluarganya turut mengakui agak janggal kerana sudah dua tahun keluarganya tidak pulang ke kampung halaman di Bau, Sarawak.
“Selalunya saya dan keluarga setiap setahun, dua kali balik ke kampung untuk sambutan Hari Gawai dan Krismas tetapi ekoran pandemik, aktiviti wajib kami sekeluarga setiap tahun terpaksa dihentikan sementara.
“Sekarang sudah dibenarkan semula, saya dan keluarga yang lengkap divaksin tidak sabar untuk jumpa ahli-ahli keluarga di Bau, Sarawak,” jelasnya.
Bagi Beatrice Stella pula, dirinya ingin mengambil peluang untuk merentas negeri sekaligus melancong dalam negara.
Katanya, dia dan suami yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun ini, hanya mampu melaksanakan sesi menandatangani perjanjian perkahwinan secara ringkas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ogos lepas.
“Saya berhasrat untuk meraikan hari bahagia kami di luar negeri susulan kebenaran merentas negeri dari pihak kerajaan tanpa perlu memohon permit polis. Lagipun, saya dan suami kedua-duanya sudah lengkap divaksin,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Siti Nurulhalida Mohd Janis pula menyuarakan keterujaan yang sama untuk pulang ke Sarawak namun dia berharap rakyat terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan penuh disiplin.
“Saya percaya semua orang sekarang teruja dan seronok hendak balik ke kampung tetapi jangan leka. SOP kena patuh, setibanya di rumah kampung, terus mandi bersihkan diri. Setelah selesai semua itu, barulah kita boleh menyapa ahli-ahli keluarga dengan rasa lebih selamat,” pesannya ringkas.
Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan berkata keputusan membenarkan rentas negeri yang berkuatkuasa pada 11 Oktober bagaimanapun menetapkan beberapa keperluan sebelum individu memasuki negeri ini.
Antaranya, individu yang berhasrat untuk merentas negeri perlu membuat permohonan melalui aplikasi enterSarawak dan sertakan bukti status lengkap vaksinasi.
“Selain itu mereka juga perlu serta keputusan RT-PCR atau Antigen dari Klinik Kesihatan atau Makmal Kesihatan negatif, sah untuk tiga hari sahaja dan lain-lain maklumat peribadi yang berkaitan,” katanya.