SRBAC, BOSNIA HERZEGOVINA, 11 Okt : Demi memuaskan hati isterinya yang cepat bosan melihat pemandangan sama, seorang warga emas, Vojin Kusic membuat keputusan untuk membina sebuah rumah yang boleh berputar.
Vojin, 72, berkata, pada awal perkahwinan, dia menyediakan sebuah rumah yang mempunyai beberapa bilik untuk membesarkan tiga anak mereka.
Ujarnya, ketika itu, isterinya, Ljubica inginkan bilik tidur yang mempunyai pemandangan matahari terbit dan keinginan itu dipenuhinya.
” Bagaimanapun ia menyebabkan ruang tamu kami menghadap jalan utama dan isteri mengadu dia tidak dapat melihat sekiranya orang memasuki halaman rumah kami,” katanya.
Sehubungan itu, Vojin telah mengubahsuai kediaman mereka dengan memecahkan beberapa bilik termasuk membuat pendawaian elektrik baharu supaya isterinya berpuas hati.
Vojin memberitahu, tugasnya dalam mengubahsuai rumah tidak berakhir di situ apabila enam tahun lepas anak bongsunya melangsungkan perkahwinan namun tidak berpindah.
” Saya dan isteri yang meminta anak bongsu untuk terus tinggal bersama kami dan menawarkan tingkat atas kediaman untuk mereka manakala saya dan isterinya berpindah ke tingkat bawah,” katanya.
Menurut Vojin, selepas berpindah ke tingkat bawah, dia sekali lagi perlu ‘bertukang’ untuk memenuhi keinginan isterinya.
” Namun kali ini belum sempat isteri merungut, saya telah mendapat idea untuk membina sebuah rumah yang boleh diputarkan supaya dia boleh melihat pemandangan yang diingininya pada bila -bila masa dengan hanya menekan suis sahaja malah dia boleh mengubah kedudukan ruang tamu pada waktu petang,” katanya.
Katanya, selepas anak – anak mengambil alih perniagaannya, dia mempunyai banyak masa terluang untuk menyiapkan rumah berputar itu dan semua kerja pembinaan dilakukan sendiri secara berperingkat.
Menurutnya, kelajuan putaran lengkap rumah itu pada kadar paling perlahan ialah 24 jam namun hanya memerlukan 22 saat untuk melengkapkan pusingan penuh pada kelajuan paling pantas -TVS
Reuters.