Kuching, 11 Okt: Peralihan daripada keadaan pandemik kepada endemik di negara ini, khususnya di Sarawak, bermakna masyarakat terpaksa menerima dan hidup bersama COVID-19 yang dijangka akan terus wujud dalam kalangan masyarakat.
Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, berkata rakyat perlu bijak dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan mengimbanginya dengan langkah-langkah untuk hidup bersama virus tersebut.
“Akan sampai masanya nanti di mana kita terpaksa menerima virus ini yang akan menjadi endemik namun kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga untuk hidup bersamanya.
“Mengambil contoh seperti penyakit tangan, kaki dan mulut yang pernah menyerang kita pada suatu ketika dahulu, kita berjaya mengekangnya sehingga ia tidak menular dengan teruk,” katanya ketika ditemui wartawan TVS pada Jumaat lalu.
Dr Jerip menjelaskan bahawa pemahaman mengenai kaedah penggunaan kit ujian COVID-19 (RTK COVID-19) dan ujian calitan COVID-19 di pusat saringan harus dipandang serius bagi mengikuti perkembangan kesihatan masing-masing sekiranya dikesan positif COVID-19 selain melindungi golongan berisiko.
“Sekiranya diberi arahan kuarantin di rumah bagi kategori gejala ringan, amalkan pemantauan kendiri dengan memeriksa kadar denyutan nadi (pulse rate), tekanan darah dan suhu badan.
“Paling penting sekali, sentiasa berkomunikasi dengan pegawai perubatan tentang kesihatan anda,” jawab Dr Jerip ketika ditanya mengenai langkah yang perlu diambil untuk melindungi golongan berisiko tinggi selain langkah kuarantin di rumah. – TVS