SIBU, 9 Okt: Seorang kelindan maut manakala seorang lagi penumpang cedera parah dalam kemalangan yang melibatkan dua buah lori di Jalan Paradom di sini pada pagi Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, mangsa yang dikenali sebagai Chieng Chao Siong, dan berusia 17 tahun, cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Hasil siasatan mendapati kemalangan melibatkan dua buah lori jenis kargo Nissan dan Daihatsu.
“Siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berlaku ketika pemandu lori Daihatsu bergerak dari arah bandar Sarikei dalam perjalanan ke Belawai.
“Apabila dia tiba di suatu tempat di Jalan Paradom, dia telah melanggar belakang lori kargo tersebut yang dipercayai berhenti di atas jalan kerana mengalami masalah mekanikal, iaitu penutup pam angin telah rosak sehingga menyebabkan ia tidak dapat bergerak,” jelasnya ketika dihubungi.
Ujar Stanley lagi, berdasarkan laporan kes, lori terbabit tidak sempat meletakkan kon kecemasan segi tiga dan ini menyebabkannya dilanggar dari arah belakang.
“Oleh sebab itu, salah seorang penumpang lori Daihatsu tersebut telah disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans Sibu manakala seorang lagi penumpang lori yang sama dikejarkan ke hospital oleh van Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sibu untuk tindakan lanjut,” tambah Stanley lagi.
Susulan daripada kes itu, pemandu lori Daihatsu telah ditahan di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta yang sama.
Bagaimanapun pemandu itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis. – TVS