KUALA LUMPUR, 9 Okt : Peratusan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu ditingkatkan kepada 60 peratus bagi memastikan negara mempunyai bekalan bakat (Talent Pool) STEM yang mencukupi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.
Memetik Laporan Tahunan 2020 Kementerian Pendidikan Malaysia, beliau berkata peratusan pelajar dalam bidang itu adalah 47.18 peratus dengan 20.51 peratus melibatkan Sains Tulen manakala baki 26.67 peratus bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“MOSTI mengambil berat mengenai peratusan pelajar dalam bidang STEM kerana bakat STEM akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara.
“Hari ini semua negara berlumba-lumba menghasilkan ilmu sains dan teknologi baharu yang lestari, mampu milik dan selamat sejajar dengan visi Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ingin dicapai pada 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Peringkat Akhir Pertandingan National Science Challenge (NSC) 2021 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri yang diadakan secara maya hari ini.
Beliau berkata visi berkenaan dapat dicapai menerusi pembudayaan sains dan teknologi serta kerajaan melalui pelbagai agensi sentiasa komited membantu membudayakan seterusnya membangunkan sebuah masyarakat progresif yang mendukung sains dan teknologi.
“Subjek STEM perlu diperkukuhkan lagi di semua peringkat untuk menarik minat para pelajar mendalami ilmu sains dan teknologi.
“Para guru bersama agensi berkaitan perlu menjadi lebih kreatif dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik bagi subjek STEM di sekolah,” katanya.
Dr Adham turut mempelawa institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah bagi berkolaborasi dengan MOSTI melalui agensinya untuk memantapkan bakat STEM negara sekali gus mewujudkan kerjaya berasaskan sains dan teknologi pada masa akan datang, sejajar dengan peredaran masa dan keperluan manusia.
Selain itu, beliau berkata pengajaran dan pembelajaran STEM boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pembelajaran formal di sekolah dan pembelajaran secara tidak formal melalui aktiviti ko-kurikulum atau menyertai program anjuran institusi dan organisasi berkaitan seperti pertandingan ini.
Beliau berkata penglibatan pelajar dalam program seumpama ini akan memberi pendedahan luas dalam meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi seterusnya mengasah bakat agar lebih kreatif dan berinovasi selaras dengan kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21 ini.
“Saya yakin dengan adanya pendedahan seperti ini, pelajar akan mendapat lebih banyak kemahiran serta memberikan persepsi positif kepada pelajar-pelajar lain untuk lebih meminati dan menyertai bidang STEM sebagai pilihan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Kolej Yayasan Saad Melaka dinobatkan juara NSC 2021, diikuti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Perak di tempat kedua dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin, Pulau Pinang meraih tempat ketiga.
— BERNAMA