Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Jawatankuasa khas kes Adib, semakan undang -undang Pulau Batu Putih dan siasat kenyataan Tommy Thomas -PM

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 9 Okt : Perdana Menteri mengumumkan Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah membuat keputusan untuk menubuhkan tiga jawatankuasa bagi bagi membuat siasatan menyeluruh terhadap tiga isu yang mendapat perhatian rakyat dan mempunyai kepentingan kepada negara namun seolah-olah masih ‘tergantung’.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiga keputusan berkenaan ialah membabitkan siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Bagi kes Muhammad Adib, Perdana Menteri berkata, satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Muhammad Adib pada 2018.

“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut
dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, langkah berkenaan sebagai membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Muhammad Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya mendapat keadilan dan pelakunya dihadapkan ke muka pengadilan.

Berhubung isu Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikai dengan Singapura, jelas Perdana Menteri, kerajaan bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

” Ini bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh. Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali,” katanya.

Pada masa sama jelas Ismail Sabri, kerajaan membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance” ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes pulau berkenaan.

Sementara itu berhubung isu Tommy Thomas, Ismail Sabri berkata, sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan dalam bukunya bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.

Ujar beliau, pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urusetia.

” Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,” katanya.

Jelas Perdana Menteri, kesemua jawatankuasa berkenaan akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan