Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Berita Pilihan 8/10/2021

1.Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersetuju membenarkan pawagam di negeri ini kembali beroperasi mulai 10 Okt ini. JPBN Sarawak dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan kebenaran beroperasi di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 itu perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

2.Kadar pengangguran di Malaysia menurun 4.6 peratus kepada 748,800 orang pada Ogos tahun ini berbanding 778,200 orang pada Julai, susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi , menurut Statistik Utama Tenagara Buruh di Malaysia, Ogos 2021. Laporan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus bulan ke bulan kepada 15.38 juta orang pada Ogos berbanding 15.29 juta orang pada Julai, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus.

3.Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menganjurkan Karnival Kerjaya UP (Urban Poor) Jubli Emas Perkeso yang menawarkan lebih 7,000 kekosongan jawatan kepada pencari kerja, pada Sabtu. Perkeso dalam kenyataan memaklumkan karnival bersempena sambutan jubli emasnya itu bertujuan membantu golongan rentan bandar mendapatkan pekerjaan khususnya ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar masalah pengangguran dapat ditangani segera.

4.Pemulihan pasaran buruh Malaysia dijangka akan mendapat momentum lebih lanjut pada bulan-bulan terakhir tahun ini dan berterusan sehingga 2022 apabila lebih banyak perniagaan memulakan operasi dengan kapasiti yang lebih besar sejak pertengahan Ogos lepas. Menurut United Overseas Bank Ltd (UOB), ekonomi negara telah beransur-ansur pulih dari kesan sekatan pergerakan sepenuhnya, selepas aktiviti ekonomi dan sosial dibuka semula pada pertengahan Ogos, dan manyaksikan peningkatan pengambilan pekerja sehingga kadar pengangguran turun kepada 4.6 peratus pada bulan berkenaan berbanding 4.8 peratus yang dicatatkan pada Julai lepas.

5.Pertahanan longlai serta kesilapan mudah menggusarkan pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe menjelang aksi terakhir siri persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan yang akan berlangsung pada Sabtu. Selepas melihat pasukannya dibelasah Jordan 4-0 Rabu lepas, Cheng Hoe berkata tumpuan utama akan diberikan kepada bahagian pertahanan supaya Skuad Harimau Malaya tidak mengalami nasib sama dibolosi disebabkan kecuaian individu.

6.Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuat uji pandu kenderaan jenis BMW dan Volkswagen yang dilengkapi aksesori kenderaan polis bagi mendapatkan maklum balas berhubung kesesuaiannya digunakan dalam penugasan PDRM. Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata uji pandu berkenaan ditawarkan oleh syarikat berkaitan sebelum sebarang keputusan penggunaannya oleh PDRM.

7.Kementerian Kesihatan (KKM) diarahkan membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran berita palsu berkenaan COVID-19 dan vaksinasi menerusi laman Twitter Spaces, baru-baru ini. Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi satu hantaran di Twitter berkata beliau telah mengarahkan KKM berbuat demikian terhadap pengguna laman sosial itu yang didakwa menyebarkan berita palsu berkenaan.

8.Trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dijangka meningkat antara 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan sehari apabila kerajaan mengumumkan rentas negeri dibenarkan semula berikutan 90 peratus populasi dewasa telah divaksinasi. PLUS menjangkakan ramai penduduk Lembah Klang serta dari negeri-negeri lain akan merebut peluang ini untuk melakukan perjalanan untuk bertemu ahli keluarga dan sahabat handai.

9.Kesemua 317 kawasan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di seluruh negara akan diberikan keutamaan dalam mewujudkan kesalinghubungan rangkaian 4G dalam masa terdekat. Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ia antara usaha yang dilakukan kerajaan supaya konsep pendemokrasian kesalinghubungan atau hak asasi manusia untuk mendapatkan kesalinghubungan dapat dilaksanakan di negara ini.

10.Seiring dengan perkembangan teknologi, para penggiat industri perfileman dan seni kreatif terutama golongan muda disaran agar merebut peluang memajukan industri itu sehingga ke peringkat antarabangsa. Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Teknikal) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Syirfan Indra Mitra Surya Hussin berkata kebanyakan golongan muda memang mempunyai kemahiran berkarya dengan menggunakan teknologi terkini.

SUMBER : BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan