Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
TUMPAT, 6 Okt -- Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Supt Mohd Razlin Abdul Manaf (kiri) bersama Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga ASP Mohd Rudzuan Ahmad menunjukkan lori yang digunakan seorang lelaki menyeludup ayam dari negara jiran pada sidang media di Pengkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor di sini. Seorang lelaki berusia 35 tahun bersama sejumlah 1,980 ekor ayam hidup bernilai RM60,192 dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor dalam satu serbuan di Jalan Kampung Jubakar di sini, pada 12.30 tengah malam tadi. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

TLDM hantar kapal tambahan kawal perairan negara, 88.4 peratus lengkap vaksin, ayam diseludup – Berita Pilihan 6/10/2021

ByFirdaus Ismail

1) TLDM kerahkan sebuah tambahan kapal untuk pantau aktiviti di perairan negara berikutan pencerobohan kapal asing dalam Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) di perairan Sabah dan Sarawak baru – baru ini. Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata, kapal itu adalah tambahan kepada dua lagi aset TLDM di Beting Patinggi Ali dan berhampiran terumbu Pulau Layang-Layang yang sentiasa diawasi 24 jam di sepanjang Laut China Selatan

2) Hanya 1.9 peratus atau 181 daripada 9,380 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, terdiri daripada individu dalam kategori tiga, empat dan lima. Ketua Pengarah Kesihatan , Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, baki 9,199 kes atau 98.1 peratus pula terdiri daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

3) Malaysia menerima sumbangan lebih 2.9 juta (2,913,750) dos vaksin COVID-19 dari empat negara iaitu Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom dan China, setakat ini. Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, Amerika Syarikat menyumbangkan 1,000,350 dos vaksin Pfizer, Jepun (998,400 dos AstraZeneca), United Kingdom (415,000 dos AstraZeneca), dan China (500,000 dos Sinovac).

4 )Johor bakal beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Pahang pula beralih ke Fasa Empat berkuat kuasa 8 Oktober ini. Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini.

5 ) Menteri Kesihatan , Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyarankan mereka yang ingin pulang ke kampung agar menjalani ujian kendiri COVID-19 sebelum melakukan perjalanan rentas negeri. Beliau berkata mereka yang berada dalam persekitaran mobiliti tinggi dan bertemu orang ramai digalakkan membuat ujian COVID-19 secara berkala. Menerusi ciapannya dalam Twitter , beliau memberitahu hanya berbaki 1.6 peratus sebelum Malaysia mencapai sasaran 90 peratus untuk membuka sempadan negeri.

6) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor menahan seorang lelaki bersama 1,980 ekor ayam hidup bernilai RM60,192 yang disyaki diseludup masuk dari Thailand. Timbalan Komander PPM Wilayah 3 Supt Mohd Razlin Abdul Manaf berkata, tangkapan pada 12.30 tengah malam itu dilakukan selepas sepasukan anggota PPM yang membuat risikan telah mendapat maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan ayam dari negara jiran yang dibawa masuk ke negara ini.

7 )Rakyat Sabah dan Sarawak yang bermastautin di Semenanjung digalakkan memohon pertukaran Bahagian Pilihan Raya berdasarkan tempat bermastautin terkini, seperti disaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata , ini bagi memudahkan urusan pengundian bagi suatu pilihan raya umum atau kecil.

8) Polis Pulau Pinang memperkenalkan kelas Bahasa Inggeris dan Jepun kepada pegawai dan angotanya yang bertugas di kawasan tumpuan pelancong di negeri itu, bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong. Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, SAC Mohd. Nasri Omar berkata, inisiatif memperkenalkan kelas bahasa asing itu dijalankan dengan kerjasama beberapa pihak supaya dapat memberi layanan lebih baik kepada pelancong.

9 )Berdasarkan data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW, 88.4 peratus atau 20,698,852 golongan dewasa, telah melengkapkan vaksinasi masing-masing setakat semalam. Setakat semalam juga, sebanyak 120,402 atau 3.8 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

10) Malaysia boleh menjadi negara pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun melalui Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang akan dilancarkan dalam masa terdekat. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pelan itu dikoordinasi melalui kerjasama strategik pelbagai pihak merangkumi badan kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat supaya pendekatan yang lebih menyeluruh dapat dikonsolidasi.

Sumber BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan