Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Status pembangunan vaksin Covid-19 negara pada peringkat ‘proof of concept’

KUALA LUMPUR, 7 Oktober — Status semasa perkembangan pembangunan vaksin COVID-19 pertama negara kini pada peringkat makmal atau proof of concept (POC), demikian Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata penyelidikan penghasilan vaksin itu meliputi teknologi innactivated virus seperti vaksin Sinovac dan jujukan genetik atau mRNA bagi vaksin Pfizer.

Jelasnya, pembangunan vaksin itu sepenuhnya diterajui pakar tempatan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kerjasama pakar daripada Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan Veterinar.

“Penghasilan vaksin ini akan mengambil masa untuk mencapai tahap keselamatan dan keberkesanan melalui ujian klinikal fasa ketiga serta mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA). 

“Penyelidikan vaksin ini (COVID-19) satu bidang baharu di negara ini dan ia (vaksin) boleh digunakan selepas keputusan ujian klinikal terhadap haiwan dan manusia menunjukkan ia selamat dan berkesan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai perkembangan semasa pembangunan vaksin COVID-19 pertama negara yang dimulakan sejak November tahun lepas.

Menjawab soalan Mohd Salim mengenai kos pembangunan vaksin, Aaron Ago berkata anggaran kos awal bagi peringkat POC itu sekitar RM1 juta hingga RM2 juta, manakala praklinikal dijangka melibatkan RM3 juta hingga RM4 juta.

“Selepas ini terdapat pelbagai lagi peringkat penghasilan vaksin dan pengilangan serta pemasarannya yang memakan kos jutaan ringgit, justeru kita harap usaha ini bukan sahaja disokong dengan dana kerajaan tetapi penglibatan daripada sektor swasta juga,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan berasingan yang diajukan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai kes bunuh diri, Aaron Ago berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara bersetuju memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, iaitu sabitan jenayah berkenaan kesalahan membunuh diri. 

Beliau berkata ketika ini cadangan pemansuhan undang-undang itu sedang dalam peringkat untuk dibawa ke Kabinet bagi diputuskan.

“Kita nak buat pindaan kepada Seksyen 309 ini supaya mereka yang bunuh diri atau cuba bunuh diri tidak akan disabit kesalahan lagi,” katanya.

— BERNAMA 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan