Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Rindu ke sekolah pendorong pelajar terima vaksin

JOHOR BAHRU, 7 Oktober — Perasaan rindu untuk kembali ke sekolah dan menjalani pembelajaran secara bersemuka seperti biasa menjadi pendorong buat pelajar Sekolah Menengah Taman Molek di sini untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19.

Tinjauan di sekolah berkenaan hari ini mendapati seramai 916 pelajar membabitkan pelajar tingkatan 1, 2, 3 dan pelajar peralihan tiba seawal 7 pagi di perkarangan sekolah untuk mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech.

Kesemua mereka yang kelihatan gembira dan bersemangat juga mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dengan hadir bersama ibu bapa atau penjaga, membawa kad pengenalan diri, borang persetujuan suntikan vaksin, memeriksa suhu badan serta menggunakan pensanitasi tangan.

Pasangan kembar berusia 14 tahun, Azeem Ali Abu Hanifa dan Aseef Ali Abu Hanifa berkata mereka teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin supaya dapat kembali belajar seperti sediakala.

“Saya rasa berdebar pada mulanya tapi selepas vaksin rasa ok sahaja, tak sakit. Apabila sudah divaksin rasa yakin sikit untuk pergi sekolah dan ke mana-mana sebab kita dah ambil langkah awal perlindungan,” kata Azeem Ali kepada pemberita di sini hari ini.

Turut berkongsi perasaan gembira, Koay Xiang Yu, 14, yang tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka kerana menyifatkan pembelajaran dalam talian agak menyukarkannya untuk fokus.

“Belajar dalam talian tidak sama dengan belajar secara bersemuka. Kita sukar untuk beri tumpuan, adakalanya Internet perlahan menyebabkan apa yang cikgu ajar jadi tersangkut-sangkut.

“Bila dah divaksin kita boleh pergi sekolah macam biasa. Belajar bersemuka lebih faham dan mudah,” kata pelajar tingkatan dua itu yang hadir ke sekolah seawal 8 pagi dengan ditemani datuknya.

Sementara itu, ibu kepada empat anak, Suraya Rahim, 42, berkata meskipun vaksin bukanlah jaminan untuk tidak dijangkiti COVID-19 namun sebagai ibu, dia tetap mengambil langkah perlindungan untuk anak-anaknya.

“Alhamdulillah, anak-anak saya daripada yang pertama sehingga ketiga semua sudah vaksin. Saya rasa dengan vaksin ia boleh bantu kita… bukanlah 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya kita ada perlindungan, jadi lebih selamat untuk anak-anak saya,” katanya yang merupakan seorang guru.

Senada dengan Suraya, seorang bapa, Abu Hanifa Mohd Ali, 52, pula menyifatkan vaksin sebagai keperluan bagi melindungi anak-anak di sekolah.

“Pelajar memang perlu ambil vaksin… itu yang saya tekankan sebab kita mahu anak kita dilindungi bukan sahaja di sekolah malah di tempat awam… ini ikhtiar kita sebagai ibu bapa. Anak kembar saya ni pada mulanya mereka takut tapi lepas saya beri nasihat, galakan dan gurauan untuk elakkan perasaan gemuruh, mereka jadi lebih bersedia,” kata ahli perniagaan itu.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan