KUCHING, 7 Oktober : Polis telah menahan seorang lelaki berhubung kes memukul seorang wanita di sebuah kedai makan di kawasan Pending, Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata polis telah mengenalpasti suspek sebaik sahaja satu laporan dibuat berikutan tular satu video berdurasi 20 saat yang menunjukkan seorang lelaki memukul wanita terbabit dengan agresif.
“Siasatan awal mendapati kejadian ini berlaku disebabkan salah faham antara pasangan kekasih warga tempatan tang berumur dalam lingkungan 30 tahun.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala suspek telah ditahan oleh pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah untuk siasatan lanjut ” kata Ahsmon dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, telah tular satu video dipercayai rakaman dari litar tertutup (CCTV) di sebuah restoran di Kuching dan telah mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai.
Kes ini disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan Yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Siasatan akan diteruskan dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (TPR) untuk arahan lanjut.