KOTA BHARU: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama rakannya ditahan polis selepas didapati membawa lima wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warganegara Thailand menggunakan sebuah kenderaan di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, malam tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata lelaki berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat PGA di Kuantan, Pahang, itu ditahan ketika memandu kenderaan jenis Hyundai Starex pada 10 malam.
Beliau berkata anggota berusia 33 tahun bersama rakan lelakinya yang merupakan orang awam berusia 28 tahun itu dipercayai mahu menghantar kumpulan warga asing itu ke Lembah Klang untuk bekerja di restoran.
Menurut Shafien, siasatan awal mendapati kesemua warga Thailand berkenaan dibawa masuk melalui pangkalan haram di sekitar Pasir Mas.
“Sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas yang menahan kenderaan terbabit di hadapan sebuah masjid menemukan kesemua wanita berusia 21 hingga 48 tahun dan kanak-kanak lelaki berumur empat tahun berada dalam kenderaan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Shafien berkata pemeriksaan mendapati dokumen perjalanan sebahagian warga asing itu sudah tamat tempoh dan ada antara mereka tidak memiliki dokumen.
Beliau berkata anggota PGA dan rakannya itu kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 manakala kesemua warga asing ditahan mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
“Pihak polis sesekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dalam kes sebegini dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas pihak terbabit.
“Dalam kes ini, kita dapati anggota PGA ini pernah bertugas di sempadan dan berhadapan masalah disiplin sebelum ditukarkan ke ibu pejabat,” katanya.