KUCHING, 6 Oktober : Nombor pendaftaran kenderaan yang “fancy”, palsu dan lama akan terus dipantau dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, pihak polis akan terus menjalankan pemeriksaan dan memantau setiap kenderaan bagi memastikan nombor pendaftaran kenderaan pengguna mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.
“Operasi khas nombor pendaftaran ini bertujuan untuk mencegah isu nombor pendaftaran yang palsu dan sukar dibaca sekali gus dapat menimbulkan masalah kepada pengguna kenderaan yang lain.
Menurutnya, pada tahun 2019 terdapat lapan aduan yang dikemukan orang awam berhubung kes disaman oleh pihak berkuasa sedangkan kenderaan mereka tidak berada di lokasi yang dinyatakan dalam saman tersebut.
“Kebanyakan kes yang kami terima adalah disebabkan nombor pendaftaran kenderaan sukar dibaca misalnya ketika kami menguatkuasakan “speed-trap” atau perangkap laju. Hal ini menimbulkan masalah kepada orang lain yang tidak bersalah,” kata Ahsmon dalam satu sidang media yang diadakan semasa Op Khas Nombor Pendaftaran di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahsmon memaklumkan terdapat juga kes yang melibatkan kenderaan disaman berada di negeri lain sedangkan saman di keluarkan adalah di Kuching.
Pada tahun 2020 sehingga Oktober 2021 terdapat 16 aduan berkaitan kesalahan yang sama dan kesemua aduan yang diterima pihak polis ini adalah di Kuching.
“Isu ini bukan sahaja menyusahkan pengguna kenderaan lain yang betul-betul mematuhi undang-undang, bahkan isu ini juga boleh menjurus kepada jenayah yang lain seperti penggunaan nombor pendaftaran yang palsu untuk melarikan diri dari dikesan pihak berkuasa.
“Ini juga menyukarkan orang ramai yang mahu memberikan maklumat kepada pihak polis berkiatan sesuatu jenayah keranan nombor kenderaan sukar dikecam,” tambahnya.
Sementara itu, sebanyak 69 kompaun telah dikeluarkan dalam tempoh dua hari Ops Khas ini dijalankan iaitu bermula 4 Oktober.
“Ini satu jumlah kompaun yang sangat besar dalam tempoh yang singkat. Jadi saya mengingatkan orang ramai terutama pengusaha kedai membuat nombor pendaftaran agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan nombor pendaftraan kenderaan yang menyalahi undang-undang,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Ahsmon memaklumkan pihak polis akan terus membantu kerajaan negeri untuk merancakkan ekonomi dengan menyediakan empat pasukan khas yang bertindak membantu kerajaan memantau tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk sektor pelancongan.
Ini bagi memastikan semua perancangan pembukaan sektor pelancongan lebih teratur dan dapat dibuka dengan selamat.