KUCHING, 5 Okt : Mayat mangsa terakhir bot karam, Awang Omar Awang Hamsawi, 59 ditemui terapung pada jarak 3.7 batu nautika utara dari tempat bot tersebut karam.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) telah menerima panggilan dari salah sebuah bot pemancing yang melakukan pencarian dan memaklumkan telah menemui satu objek terapung di permukaan air.
Katanya, mayat tersebut seterusnya dibawa oleh pasukan penyelamat ke jeti dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Pengesahan identiti mayat telah dilakukan oleh pasukan Forensik PDRM bersama waris mangsa di Hospital Umum Sarawak.
Kad identiti turut ditemukan pada mangsa.
“Maritim Malaysia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan semoga segala urusan dipermudahkan.
Maritim Malaysia merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua agensi sahabat yang terlibat dalam operasi CARILAMAT ini, petugas dari pelbagai jabatan/agensi serta komuniti maritim tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pihak Maritim Malaysia menasihatkan agar komuniti maritim tidak turun ke laut buat masa ini, memandangkan keadaan cuaca yang kurang baik terutamanya pada peralihan Monsun Timur Laut, bermula dari Oktober 2021 hingga Mac 2022. -TVS