Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Suami, isteri maut ditetak anak

KUANTAN, 5 Oktober — Sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai ditetak anak lelaki mereka dengan menggunakan parang di sebuah rumah di Kampung Kemahang Hulu, Benta dekat sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira 10.30 malam ketika suspek berusia 31 tahun itu dikatakan sedang berbual bersama bapa dan ibunya yang berusia 68 dan 64 tahun.  

Beliau berkata ibu suspek yang merupakan seorang pesara kemudian masuk ke dalam bilik meninggalkan suspek bersama bapanya yang berbual mengenai ilmu agama dan ketuhanan. 

Katanya suspek dipercayai secara tiba-tiba bertindak mengambil parang di dalam bilik lalu menetak dan menikam bapanya yang merupakan seorang pengawal keselamatan, di bahagian kepala dan bahu. 

“Ibu suspek yang melihat kejadian tersebut, pergi menghampiri suaminya untuk membantu namun suspek telah menyerang mangsa (ibu) dengan menetak dan menikamnya di bahagian leher serta kepala. 

“Mangsa kemudian terus melarikan diri keluar dari rumah sebelum ditemukan rebah di atas tanah berhampiran pagar,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Yusri berkata suspek yang tidak bekerja telah bertindak keluar rumah dalam keadaan berlumuran darah dan ditahan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis. 

Beliau berkata jenazah suami isteri itu dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat manakala suspek yang didapati positif dadah akan direman tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Motif kejadian masih dalam siasatan, katanya. 

— BERNAMA 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan