KUALA LUMPUR, 5 Okt : Pemberian vaksin dos penggalak menggunakan pendekatan ‘heterologous’ atau vaksin yang boleh dicampur akan dilaksanakan di Sarawak bermula hujung bulan ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu berkata, pemberian dos penggalak berkenaan adalah untuk mereka yang memenuhi syarat penggunaan vaksin yang berbeza dari jenis asal.
Ujarnya, jawatankuasa kecil teknikal telah mengesyorkan kepada Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) untuk mengambil pendekatan vaksinasi campur berkenaan.
“Dos penggalak yang akan kita mulakan pada Oktober ini membenarkan vaksinasi yang boleh dicampurkan.
“Kajian berkenaan keselamatan ini telah dilaksanakan dan disyorkan program ‘heterologous vaccination’ kita” katanya pada Sidang Parlimen semalam ini.
Tambah Khairy Jamaluddin, pemberian dos penggalak akan bermula di Sarawak bulan ini dengan warga emas sebagai kumpulan sasaran.
“Sarawak telah membuka beberapa sektor lebih awal daripada negeri lain dan mereka cepat juga melaksanakan program vaksinasi.
“ Kesan vaksin mungkin sudah mula menurun. Oleh itu warga emas di sana akan ditawarkan dos penggalak pada bulan ini juga,“ katanya.
– TVS