Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PGA7 rampas rokok seludup, hasil jualan bernilai hampir RM200,000

PASIR PUTEH, 5 Oktober — Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menumpaskan kegiatan penjualan rokok seludup bernilai RM187,908.20 dan menahan dua lelaki, dalam dua serbuan berasingan di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata pasukannya berjaya merampas 136,200 batang rokok putih dan 4,960 batang rokok kretek dianggarkan bernilai RM106,217.20 dalam serbuan dijalankan menerusi Op Kontraban.

Beliau berkata turut dirampas wang tunai pelbagai not bernilai RM73,691 yang dipercayai hasil jualan rokok berkenaan serta kenderaan bernilai RM8,000.

“Dalam serbuan pertama pada 3.30 pagi tadi di Kampung Gong Kala, di sini, sejumlah rokok putih bernilai RM32,250 dan rokok kretek bernilai RM4,067.20 berjaya dirampas.

“Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Nissan bernilai RM8,000 serta wang tunai pelbagai not berjumlah RM15,583 menjadikan nilai keseluruhan rampas pertama adalah sebanyak RM59,900.20,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang juga pemilik rumah turut ditahan untuk siasatan lanjut, katanya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua di Kampung Gong Datok, sepasukan anggota PGA7 telah menyerbu sebuah rumah pada 6 pagi tadi dan menahan seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga pemilik rumah terbabit.

“Pemeriksaan dilakukan di satu ruang tersembunyi di bawah lantai bilik utama telah menjumpai rokok putih berjumlah 93,200 batang.

“Pemeriksaan seterusnya di atas almari di dalam bilik menemukan wang tunai pelbagai not sebanyak RM58,108. Hasil soal siasat mendapati wang tunai tersebut hasil daripada penjualan rokok seludup,” katanya.

Azhari berkata jumlah keseluruhan rampasan dalam serbuan kedua adalah RM69,900 bagi rokok putih dan wang tunai RM58,108.

“Ekoran kejadian ini satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bukit Yong dan kesemua hasil rampasan akan diserahkan untuk siasatan lanjut megikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Pihak berkuasa amat berterima kasih di atas maklumat yang disalurkan oleh orang ramai dan berharap kegiatan seperti ini akan dapat ditumpaskan,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan