Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
PKS Sarawak

Mila Jirin seru kerajaan lihat kesukaran industri sosial

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 5 Okt : Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin memohon kerajaan supaya memberi perhatian kepada industri sosial kerana mendakwa banyak perniagaan kategori berkenaan mengharungi detik sukar selepas setahun tidak dibenarkan beroperasi.

Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin berkata, dia dan rakan usahawan yang terlibat mengusahakan perniagaan katering memahami situasi semasa dan mereka tidak meminta kebenaran untuk membenarkan penganjuran majlis yang melibatkan kehadiran puluhan ribu tetamu.

Ujarnya, mereka akur sekiranya kerajaan membenarkan hanya 100 tetamu menghadiri majlis kenduri di dewan dan dipecahkan kepada kehadiran mengikut tempoh masa.

”  Prosedur operasi standard (SOP) yang boleh dilaksanakan untuk majlis sosial mungkin sama seperti yang diamalkan di restoran. Jika dalam penerbangan boleh tanpa penjarakan sosial dan makan tanpa memakai pelitup muka, kenapa makan di dewan dengan jarak sosial satu meter tidak dibenarkan,” katanya.

Mila berkata demikian menerusi hantaran di Instagram sebagai reaksi kepada kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memberikan bayangan bahawa majlis sosial dalam kawasan tertutup mungkin menjadi sektor terakhir akan dibuka dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ujar Khairy Jamaluddin ini berdasarkan kesukaran untuk memastikan pematuhan SOP dalam majlis sosial di kawasan tertutup termasuklah di majlis-majlis perkahwinan.

Mila yang mengusahakan perniagaan katering untuk majlis perkahwinan dan restoran berkata, dia berharap kerajaan dapat membincangkan SOP untuk membolehkan mereka beroperasi semula dan mengutamakan perniagaan tempatan berbanding ‘orang luar’.

” Jika kerajaan boleh fikirkan kepentingan membawa masuk pekerja Nepal, India dan Bangladesh, mohon juga untuk lihat kepentingan usahawan dalam industri sosial,” katanya.

Sehubungan itu, penyanyi yang pernah menyertai program Akademi Fantasia itu meminta kerajaan menjemput pakar dalam industri perkahwinan dan pengelola dewan untuk mendapatkan pandangan terbaik.

” Bukan kami (pengusaha katering) tidak faham cuma berilah peluang kepada kami untuk berkongsi idea,” katanya.

Mengulas lanjut, Mila berkata, dia akur sekiranya perniagaan industri sosial dibenarkan beroperasi dalam skala mikro setelah penat menyediakan pelbagai kertas cadangan dalam usaha untuk bertahan.

“Semua proposal berakhir dalam group aplikasi WhatApps walaupun telah dihantar ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) namun tiada maklum balas,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan