KUALA LUMPUR, 5 Okt : Krisis politik Melaka yang tercetus secara tiba-tiba semalam tanpa disangka membawa kepada pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Mengumumkan perkara itu, Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata, cadangan pembubaran DUN dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali semalam dan Proklamasi Pembubaran dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam juga pada hari sama.
Sehubungan itu ujarnya, langkah yang diambil oleh Ketua Menteri itu sebagai usaha untuk menyelesaikan kemelut politik negeri.
Sulaiman hilang sokongan majoriti berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan iaitu Datuk Seri Idris Haron (Barisan Nasional BN) -Sungai Udang) yang juga bekas Ketua Menteri bersama Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan sekaligus menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi BN, Bersatu (2), DAP (7), PKR (2), Amanah (2) dan Bebas (1).
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Melaka jatuh ke cengkaman Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu dibarisi PKR, Bersatu , DAP dan Amanah menang majoriti mudah daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.
Bagaimanapun pada Mac tahun lepas, Barisan Nasional (BN) Melaka kembali membentuk kerajaan negeri menerusi gabungan bersama Bersatu selain penyertaan ADUN Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) itu sekaligus menyaksikan PH hilang majoriti di DUN.
Dengan perkembangan ini, Melaka menjadi negeri kedua mengadakan Pilihan Raya Negeri(PRN) selepas Sabah pada September lepas. -TVS