KUALA LUMPUR, 4 Okt– Tiada keperluan untuk pusat pemberian vaksin (PPV) mega meneruskan operasi pemberian vaksin COVID-19 berikutan majoriti rakyat telah menerima vaksin lengkap, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata justeru, PPV yang mencapai liputan vaksinasi yang baik akan mula ditutup.
“Bila kebanyakan penerima vaksin telah menerima vaksin, jadi kita tak perlu lagi ada PPV besar beroperasi kerana ini melibatkan kos dan sebagainya. Esok, saya akan bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengenai beberapa PPV masih dibuka untuk yang tercicir dan warga asing.
“Kita juga sedang berbincang dengan MOSTI untuk tutup PPV (yang sudah capai matlamat) secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas melawat hari terakhir operasi PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Menurutnya, PPV WTC ditutup secara rasmi hari ini selepas 150 hari beroperasi, sejak 5 Mei lepas.
Khairy berkata beberapa PPV masih dibuka bagi program vaksinasi remaja, manakala klinik kerajaan dan swasta akan dijadikan PPV melibatkan dos ketiga dan dos penggalak.
Mengenai laporan palsu atau ‘false alarm’ kesan sampingan vaksin dalam kalangan remaja, beliau berkata tiada laporan berkaitan kesan sampingan serius diterima setakat ini.
Pada 22 Sept lepas, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata seramai 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dan tiada sebarang laporan mengenai kesan sampingan serius dialami golongan remaja yang menerima suntikan itu.
— BERNAMA