KUCHING, 4 Oktober: Ekonomi gig membuka ruang yang lebih besar kepada perkembangan ekonomi dan menjadi pilihan terutama dalam kalangan generasi muda.
Namun begitu, kebanyakan pekerja dalam sektor ekonomi gig yakni perkhidmatan berdasarkan permintaan tidak mempunyai perlindungan diri, termasuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata ramai golongan wanita terlibat dalam ekonomi gig kerana ia memberi peluang pekerjaan yang mendatangkan keuntungan tinggi kepada ramai rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Sebab kita sedia maklum, ekonomi gig ini adalah ekonomi yang banyak memberi peluang ekonomi yang baik kepada kaum wanita.
“Walau bagaimanapun, ekonomi gig ini tidak dilindungi, mereka mudah dieksploitasi dan tidak mempunyai perlindungan khususnya insurans, KWSP dan sebagainya,”katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.
Madeline menjejaskan pekerja gig mudah dieksploitasi kerana ramai golongan wanita terlibat diberi perlindungan dengan baik agar pekerjaan mereka, hasil mereka dapat mendatangkan faedah kepada diri sendiri, isi rumah, masyarakat dan seterusnya membantu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu melindungi pekerja dalam ekonomi gig ini kerana ramai golongan wanita kini bergiat dalam aktiviti tersebut.