KUCHING, 4 Okt: Sebagai respon kepada teguran Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai operasi carilamat (SAR) pada Ahad, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman berkata terdapat limitasi dalam bidang kuasa mereka yang menyebabkan operasi SAR perlu dihentikan pada sebelah petang dan tidak dapat diteruskan pada waktu malam.
“Semalam (Ahad), rakan saya, saudara Zin Azman (Pengarah Maritim Negeri Sarawak) telah menjelaskan bahawa operasi pada waktu malam tidak dibenarkan kerana ia akan merisikokan nyawa, bukan sahaja penyelamat tetapi juga mangsa.
“Hal ini kerana bila di laut terbuka, jarak penglihatan kita sangat terhad dan kita berisiko untuk melanggar mangsa sekiranya dia betul-betul berada di sekitar kawasan itu.
“Ini adalah antara isu-isu yang diberi perhatian dan telah ditetapkan dalam SOP kita,” katanya kepada pemberita TVS ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Negeri Sarawak hari ini.
Merujuk kepada insiden 3 Oktober 2018 yang membabitkan enam anggota bomba yang lemas, keselamatan anggota penyelamat menjadi antara faktor yang dititikberatkan selain keupayaan logistik marin di peringkat JBPM Negeri Sarawak.
“Dalam SOP kita telah menetapkan SAR selama tujuh hari untuk mencari mangsa sampai dapat.
“Namun sekiranya sudah tujuh hari tetapi masih belum ditemui, kita terpaksa menghentikan operasi SAR,” katanya.
Terdahulu, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui pemberita di Kampung Budaya Sarawak, telah memberi teguran kepada pasukan penyelamat untuk lebih peka dan bersedia sekiranya insiden seperti ini berlaku.
Ia susulan operasi SAR yang dijalankan pasukan penyelamat dihentikan pada waktu petang tetapi penduduk sekitar mempunyai inisiatif untuk meneruskan pencarian sehingga berjaya menemui sembilan mangsa bot karam di perairan Pulau Satang. -TVS