ANFIELD, 4 Okt: Calon juara saingan Liga Perdana Inggeris, Liverpool mempamerkan aksi mengagumkan apabila perlawanan yang berlangsung di stadium keramat Anfield berakhir seri 2-2 dengan Manchester City.
Skuad Jurgen Klopp diturunkan tanpa kelibat utama Trent-Alexander Arnold dan Roberto Firmino namun diisi tempat oleh Diogo Jota dan James Milner manakala anak didik Pep Guardiola menurunkan kesebelasan utama terkuat mereka bagi musim ini.
Pertembungan klasik taktikal ini menyaksikan skuad The Red lumpuh pada 15 minit pertama perlawanan dengan setiap asakan oleh tuan rumah dipatahkan oleh pemain Manchester City.
Isu panas bangkit pada minit ke-32 setelah Phil Foden dijatuhkan secara kasar oleh Milner namun tiada tindakan daripada pengadil perlawanan sebelum separuh masa pertama berakhir.
Memasuki separuh masa kedua, Liverpool memperkemaskan taktikal dengan aksi pembukaan gol pada minit ke-59 hasil larian Mohamed Salah memperdayakan pertahanan lawan sebelum disudahkan oleh Sadio Mane.
Tidak sampai 10 minit kemudian, City menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain muda England, Phil Foden yang menewaskan Alisson Becker.
Salah sekali lagi mempamerkan aksi memukau melakukan larian solo pada minit ke-76 menembusi pertahanan City sebelum meledakkan gol yang menakjubkan sekaligus menewaskan penjaga gawang mereka, Ederson.
Dengan perlawanan semakin panas hasil serangan bertubi-tubi oleh kedua-dua pasukan, City akhirnya lega merembat gol penyamaan oleh pemain bek tengah mereka Kevin De Bruyne.
Liverpool mempunyai peluang keemasan oleh Fabinho sebelum tamat perlawanan namun tindakan pantas Rodri menyangkal tiga mata penuh tuan rumah.
Perlawanan berakhir seri 2-2 dengan kedua-dua pasukan hanya sekadar berkongsi mata. Liverpool menduduki tangga kedua dibelakang juara liga terdahulu Chelsea manakala anak buah Pep Guardiola hanya berpuas hati ditangga ketiga mengumpul 14 mata bersama jiran mereka Manchester United.