KUCHING, 4 Okt : Setelah lama tidak beraksi ke pentas, artis kelahiran Bumi Kenyalang Dayang Nurfaizah yang popular dengan lagunya ‘Lelaki Teragung’ melahirkan rasa teruja untuk tampil membuat persembahan ‘comeback’ sempena Sambutan Hari Lahir ke-85 Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (TYT) dan konsert Irama dan Lagu.
Konsert Irama dan Lagu yang bertemakan Malam P.Ramlee menjadi pilihan Tun Pehin Seri kerana beliau sememangnya peminat tegar dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Dayang akan membawa lagu kegemarannya “Tunggu Sekejap” yang bakal diadakan pada 10 Oktober 2021 di Dewan Colosseum, Hotel Pullman, Kuching.
“Saya berasa teruja kerana dapat membawa lagu kegemaran TYT hasi karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang bertajuk Tunggu Sekejap.
“Saya banyak berlatih di rumah sejak beberapa hari ini kerana saya ingin memberikan yang terbaik untuk peminat,” ujarnya ketika ditemu ramah oleh pemberita TVS pada Sabtu.
Pada masa yang sama, Dayang berharap peminat bersabar menanti kejutan persembahan pada malam itu.
“Elemen kejutan yang bakal menanti adalah konsepnya sendiri dan juga busana yang akan saya kenakan,” jelasnya.
Selain itu, terdapat juga persembahan muzikal pendek yang memaparkan adegan-adegan nostalgia karya filem P. Ramlee.
Selain Dayang, artis terkemuka kelahiran Sarawak seperti Hafiz Suip, Fairuz Misran serta barisan penyanyi-penyanyi tempatan yang akan diiringi Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) bakal turut menyerikan malam tersebut.