KAPIT, 3 Okt: Penduduk di Bahagian Kapit dinasihatkan untuk berwaspada semasa menjalankan aktiviti di sungai terutamanya ketika hujan lebat.
Melalui notis yang dikeluarkan Lembaga Sugai Sungai Sarawak (LSS), hujan lebat yang berlaku di Bahagian Kapit telah mengakibatkan limpahan air besar di Hulu Batang Rajang dan Batang Balui.
LSS menasihatkan semua kapal, bot, perahu kecil dan panjang yang belayar di sungai sentiasa berjaga-jaga dan menggunakan kelajuan yang bersesuaian.
Semua pengguna sungai terutamanya bot ekspress, bot penumpang, perahu kecil dan perahu panjang juga diarahkan sentiasa memakai jaket keselamatan, menyalakan lampu navigasi atau lampu isyarat dan membunyikan ‘sound fog horn’ ketika menghadapi situasi berhampiran kapal.
Masyarakat setempat terutamanya penduduk di tebing sungai turut disarankan untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap paras air sungai kerana berisiko menghadapi banjir.
Maklumat berkenaan kategori tahap amaran paras air sungai dikawasan terjejas boleh didapati di laman sesawang ihydro.sarawak.gov.my.