Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Piala Sudirman: Malaysia mara ke saingan separuh akhir

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Okt: Pasukan muda negara terus menceriakan seluruh peminat badminton negara pada awal pagi ini apabila mereka berjaya menundukkan Indonesia untuk melangkah ke saingan suku akhir Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

Apa yang membanggakan adalah semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain Malaysia, yang berhempas pulas dalam persaingan yang berlarutan selama hampir enam jam, sebelum mereka akhirnya berjaya menundukkan musuh ketat negara dalam arena badminton itudengan keputusan 3-2.

Ini merupakan kejayaan pertama Malaysia menundukkan Indonesia dalam Piala Sudiman selepas tiga pertemuan, sejak pertembungan pertama pada peringkat kumpulan edisi 1999 di Copenhagen, Denmark, yang menyaksikan pasukan negara jiran itu menewaskan pasukan negara 4-1.

Pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Tokyo, memulakan cabaran negara dengan langkah kanan apabila mereka berjaya menewaskan beregu pilihan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam perlawanan pertama, dengan straight set 21-12, 21-15, dalam masa 33 minit.

Bagaimanapun, dalam perlawanan kedua, juara perseorangan wanita Sukan SEA 2019 S. Kisona gagal meneruskan momentum apabila ditundukkan 22-20, 18-21, 21-19 oleh pemain nombor 21 dunia Gregoria Mariska Tunjung dalam masa 67 minit.

Kemudian tiba giliran pemain harapan negara, juara All-England 2021 Lee Zii Jia untuk mempamerkan kehebatan dan menceriakan peminat badminton negara apabila dia berjaya menumpaskan Anthony Sinisuka Ginting dalam straight set 21-11, 21-16, sekali gus mencatatkan kemenangan pertama ke atas seterunya itu selepas empat pertemuan sebelum ini.

Seterusnya pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah jelas mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam aksi mereka, namun ia ternyata tidak cukup untuk mengetepikan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

Pasangan Greysia-Apriyani memberikan sinar harapan kepada Indonesia apabila mereka menumpaskan pasangan negara itu dengan keputusan 22-20, 17-21, 21-18, untuk mengikat kedudukan 2-2.

Dalam perlawanan penentuan, pasangan campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mempamerkan aksi hebat, terutamanya dalam perlawanan ‘rubber set’ untuk mengejutkan pilihan keempat dunia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti, dengan keputusan 21-16 untuk memuktamadkan kemenangan Malaysia.

Terdahulu Hoo-Cheah memenangi set pertama dengan 21-19 namun disebabkan banyak kesilapan, set kedua dimenangi Praveen-Melati dengan 21-9.

Malaysia dijangka berhadapan dengan cabaran sengit dalam saingan berikutnya di mana mereka dijadualkan berentap sekali lagi dengan pasukan Jepun di peringkat separuh akhir pada jam 9 malam 3 Oktober (4.00 petang waktu Finland).

Sebelum ini, pasukan negara ditewaskan oleh Jepun 1-4 dalam saingan peringkat Kumpulan D.

Jepun mara ke peringkat separuh akhir selepas berjaya menewaskan Taiwan, 3-1.

Sementara itu, dalam perlawanan lain di saingan peringkat suku akhir, penyandang juara China menewaskan Denmark 3-2 untuk menempah pertemuan dengan Korea Selatan nanti, selepas Korea Selatan menundukkan Thailand, 3-2.

Dalam saingan peringkat Kumpulan D sebelum ini. pasukan negara mencatatkan kemenangan ke atas England 3-2 pada 27 September, disusuli kemenangan 5-0 ke atas Mesir pada hari berikutnya. – BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan