MELAKA, 1 Oktober — “Ada yang kata anak saya tak makanlah, tak cukup tidurlah…padahal makan, tidur cukup. Sebelum pergi memang akan suruh mereka makan. Lepas tu yang akak paling kecewa bila dia kata anak akak dah meninggal,” luah Ulfah Mat Daris, 42.
Ulfah merupakan ibu kepada Muhammad Azim Hassan, 13, remaja yang didakwa pengsan selepas disuntik vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang di sini semalam.
Beliau berkata Muhammad Azim berasa takut sebelum disuntik, sehingga menyebabkannya gemuruh sebelum pengsan selepas vaksinasi.
“Dia (Muhammad Azim) selalu cakap ‘ibu, adik takut (ambil vaksin)’. Dia lemah semangat… pukul 11 malam dia dah tidur dan bukannya pukul 2 pagi sebagaimana yang ditularkan.
“Anak akak dah makan dua bungkus nasi lemak sebelum ke PPV. Akak terkejut orang sebar cerita yang bukan-bukan mengenai Muhammad Azim. Dia tak tanya kita, tak jumpa kita tapi sebar cerita yang bukan-bukan … macam kecewa sangatlah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Duyong di sini hari ini.
Ulfah berkata sebelum kejadian tersebut, beliau bersama suami dan anaknya ke PPV berkenaan pada pukul 10 pagi sebelum petugas memberitahu untuk masuk satu jam kemudian berikutan orang ramai.
Beliau berkata selepas Muhammad Azim disuntik, doktor bertanya adakah beliau sihat dan anaknya mengiyakan pertanyaan doktor.
“Selepas itu, kami mengambil gambar untuk dibuat kenangan sebelum bergerak ke tempat meletak kereta. Sebaik tiba di sana saya lihat Muhammad Azim dah rebah dan ada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang mendukungnya masuk ke PPV untuk diberi rawatan.
“Pemeriksaan doktor mendapati anak sihat, cuma jantungnya sedikit laju mungkin kerana terlalu berdebar selepas disuntik,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata apa yang dialami Muhammad Azim adalah ‘syncope reflex’ ataupun darah gemuruh, yang boleh menyebabkan pengsan.
“Syncope’berlaku disebabkan ketakutan yang amat sangat, ‘excitement’ yang amat tinggi sangat, gementar, takut pada jarum pun pengsan, tengok darah pun pengsan.
“Pada dasarnya apa yang berlaku adalah pembesaran pembuluh darah yang menyebabkan tekanan darah jatuh. Bila tekanan darah jatuh, darah kurang ke otak dia jadi gelap mata, berdengung telinga dia akan tumbang (pengsan) dan bila dibaringkan dia akan sedar,” katanya.
Terdahulu, Dr Noor Azmi meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertanya khabar mengenai Muhammad Azim, selepas tular di media sosial kejadian seorang remaja lelaki yang dikatakan tidak sedarkan diri selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 semalam.
— BERNAMA