MIRI: Usahawan dari kalangan B40 dan perniagaan informal dinasihatkan untuk mengambil peluang bagi mendapatkan pelbagai bantuan perniagaan yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, usahawan juga digalakkan untuk menggunakan medium media sosial bagi memasarkan perniagaan mereka dengan lebih meluas.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut memaklumkan pelbagai bentuk bantuan dan pinjaman yang boleh usahawan dapatkan untuk berkembang seperti melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Jabatan Pertanian dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
“Peniaga disarankan untuk mendapatkan pendedahan yang lebih meluas dengan pelbagai teknik perniagaan yang boleh dipelajari untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.” katanya ketika berkunjung ke pusat latihan peserta yang terpilih dalam program Micro Connector, Sme Corporation Malaysia di Pusat Latihan Kek Lapis Siti Payung, Jalan Airport Miri pada Jumaat.
Beliau sempat meluangkan masa untuk memberikan kata-kata nasihat dan motivasi kepada usahawan dari kalangan B40 termasuk ibu tunggal, belia dan juga peserta oku yang menerima bantuan berupa peralatan untuk memulakan perniagaan yang dibiayai bersama oleh Sme Corporation Malaysia dan agensi dibawah kementerian pembangunan Usahawan & Koperasi Malaysia.