KUCHING : Sarawak hari ini mencatatkan 26 kematian akibat COVID-19 yang melibatkan warga emas berusia antara 51 hingga 98 tahun dalam tempoh antara 16 hingga 30 September 2021.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan, sebanyak 2,413 kes dicatatkan di mana 18.77 peratus atau 453 kes adalah daripada Kategori Satu, 1,948 kes daripada Kategori Dua, satu kes daripada Kategori Tiga, enam kes daripada Kategori Empat dan lima kes daripada Kategori Lima.
Daerah Kuching merekodkan 787 kes diikuti Miri dengan 307 kes, Sibu 186, Sri Aman 123 dan Bintulu 117.
Sementara itu, terdapat satu kluster komuniti baharu diisytiharkan pada hari ini iaitu Kluster Sepangah, Limbang di mana daripada 178 individu yang disaring, 22 daripada mereka disahkan positif.
Berikutan tiada kes baharu dikesan dan dilaporkan dalam tempoh 28 hari lepas, tiga kluster telah diisytiharkan tamat iaitu Kluster Ladang Hijau 01 di Beluru, Kluster Kampung Panggil di Sri Aman dan Kluster Pangkalan di Bau.
JPBN Sarawak turut memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 11 lokasi yang terletak di Lubok Antu, Limbang, Julau, Meradong dan Pakan.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan sebanyak 27 kompaun telah dikeluarkan atas berbagai kesalahan, iaitu gagal mengimbas kod QR MySejahtera atau mencatat kehadiran sebelum memasuki premis (22), tidak memakai pelitup separuh muka (2), tidak menjaga penjarakan fizikal di tempat awam (2), dan gagal menyediakan alat pengesan suhu (1). – TVS