SIBU: Seorang remaja lelaki berusia 25 tahun dikejarkan ke hospital Sibu selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Wong King Huo pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Jemoreng, Matu mengalami cedera parah di kepala akibat daripada kejadian tersebut sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.20 petang selepas tiga jam bertarung nyawa.
“Berdasarkan siasatan polis trafik di lokasi kejadian mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan sedang bergerak dari bandar Sibu menuju ke arah jalan Salim dan ketika tiba di Jalan Wong King Huo, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai cuba mengubah laluan dari lorong kiri ke lorong kanan lalu bertembung dengan lori yang berhenti di atas jalan disebabkan mengalami kerosakan dan tidak dapat bergerak,” katanya ketika dihubungi TVS pada Khamis.
Menurut Stanley, pemandu lori telah ditahan dibawah seksyen 112 akta pengangkutan jalan 1987 kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah seksyen 41(1) akta yang sama.
Mangsa remaja berkenaan dikenali sebagai Mohd Firdaus Mohd Taufiq, berusia 25 tahun, manakala pemandu lori berusia 29 tahun terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kes masih dalam siasatan.