Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dari akauntan ke pemilik empayar kek lapis di Kuala Lumpur

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 1 Okt : Pengorbanan seorang ibu, Hayudi Kastor melepaskan kariernya sebagai akauntan demi anak -anaknya telah membawa wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini terjun ke dunia perniagaan secara tidak sengaja.

Hari ini, Hayudi, 51, boleh berbangga apabila memiliki ’empayar’ kek lapis di ibu kota yang sering menjadi pilihan penggemar hidangan terkenal dari Bumi Kenyalang itu.

Meluncur lebih laju, perniagaan yang bermula dengan modal hanya RM100 pada 2008, kini ‘naik pangkat’ menjadi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan turut menggaji enam orang pekerja.

Menggunakan label Zahayu Gift House, Hayudi dan pekerjanya tidak menang tangan memenuhi tempahan pelanggan yang bukan hanya dari dalam negara, malah kek lapisnya turut terbang ke beberapa negara.

Hayudi bersama pekerjanya tekun menyiapkan kek lapis yang ditempah oleh pelanggan.

” Segalanya bermula pada 2008, selepas berhenti keja, saya mencari sesuatu untuk dilakukan bagi mengisi masa lapang dan dari situlah timbul idea untuk menjual kek lapis,” katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.

Beroperasi di sebuah lot kedai di Setiawangsa, Hayudi memberitahu, dia baharu sahaja berpindah di situ beberapa bulan lepas namun hanya dapat beroperasi pada September lepas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

” Tempat lama di Keramat agak kecil, jadi sukar untuk membuat kek lapis sekiranya menerima tempahan yang banyak. Oleh itu, saya membuat pelaburan hampir RM50,000 untuk kos sewa tempat baharu ini di samping membeli peralatan termasuk 10 ketuhar untuk membakar kek dan proses pengubahsuaian,” katanya.

Berbicara lebih lanjut, lulusan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, pada mulanya, dia langsung tidak tahu membuat kek lapis.

“Pada awal perniagaan, saya menempah dari Kuching untuk dijual kepada pelanggan di sini namun proses itu mengambil masa . Oleh itu, saya membuat keputusan pulang ke kampung selama beberapa bulan untuk belajar membuat kek lapis dengan ibu saudara yang sememangnya pakar menyediakan pelbagai jenis kek lapis,” katanya.

Sudah menjadi sepak terajang dunia perniagaan, Hayudi memberitahu, ceritanya dalam berdagang kek lapis, tidak semuanya berwarna warni seperti kek-kek lapis yang dibikin.

” Pernah beberapa tahun lalu, saya sangat teruja apabila menerima tempahan ratusan biji kek lapis dari seorang pelanggan. Namun , semuanya bertukar hampa apabila tiba hari yang dijanjikan, pelanggan itu tidak muncul walaupun saya telah menyiapkan tempahannya,” katanya.

Menganggap perkara itu sebagai dugaan , ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, dia lebih suka mengenangkan perkara -perkara manis yang akan terus memberikan semangat untuk melangkah dalam perniagaan.

” Beberapa tahun lalu, ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, seorang pelanggan datang memborong kek lapis untuk di bawa ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Malaysia Hall, London.

” Selain itu, sebelum pandemik melanda, saya mempunyai pelanggan tetap dari Singapura. Boleh dikatakan setiap bulan mereka akan datang ke kedai saya dan memborong kek lapis untuk dibawa pulang,” katanya.

Kek lapis anyaman merupakan salah satu produk yang dihasilkan oleh Zahayu Gift House.

Setakat ini katanya, beliau turut mempromosikan perniagaan secara dalam talian dan telah mengeksport kek lapis ke beberapa negara termasuk Korea Selatan, Arab Saudi dan Australia.

Menganggap perniagaannya sebagai satu sumbangan kepada masyarakat, Hayudi berkata, dia mengupah pekerja yang mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti cancer survival.

” Saya tidak mahu dia bersedih di rumah mengenangkan sakitnya sebaliknya keluar bekerja dan menikmati proses membuat kek lapis yang boleh diibaratkan sebagai terapi,” katanya.

Ditanya tentang keistimewaan kek lapisnya, Hayudi memberitahu, dia tidak menggunakan pengawet untuk memastikan kek berkenaan tahan lama.

” Mungkin itu rahsia kek lapis keluaran syarikat saya menjadi pilihan. Ketika ini, kami berupaya mengeluarkan 18 jenis kek lapis dengan yang paling popular pastinya masam manis,” katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, Hayudi berkata, dia berharap dapat membuka sebuah lagi cawangan di ibu kota dalam masa terdekat.

” Selain itu, memandangkan tempat baharu ini agak luas, saya bercadang untuk mengubahsuai menjadikan sebagai cafe yang menyajikan hidangan terkenal Sarawak seperti Laksa Sarawak dan Mee Kolok,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan