KUCHING, 30 Sept: Sarawak akan meneruskan dasar kehijuan negeri ini apabila mengangkat program restorasi landskap hutan sebagai agenda utama.
Ketua Menteri Datuk patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM62 juta kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk melaksanakan program-program restorasi di seluruh negeri.
Untuk tahun ini, sebanyak RM10 juta telahpun disalurkan kepada JHS.
“Usaha ini adalah salah satu daripada 7 strategi teras yang telah digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030 dengan melestarikan alam sekitar,” katanya ketika melancarkan majlis pelancaran Le Tour De Restoration (Greening Sarawak’S Campaign) Jabatan Hutan Sarawak sempena sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2021.
Katanya lagi, kerajaan negeri inginkan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan adalah seiring dengan pengekalan kelestarian alam sekitar.
Sarawak juga mempunyai perancangan masa depan untuk memperkasakan program restorasi di Sarawak.
“Bagi memastikan program restorasi mencapai matlamatmya, elemen Penyelidikan dan Pembangunan (RnD) perlu diperkasakan.
“Inisiatif jabatan hutan sarawak yang telah mengetengahkan projek yang dikenali sebagai ‘Seed Ball’ dilihat amat bertepatan bagi memudahkan aktiviti penanaman pokok terutama sekali dikawasan berbukit,”ujarnya.
Kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk menghijaukan bumi Sarawak melalui pelaksanaan Program Restorasi Landskap Hutan dan menyokong pelaksanaan Kempen Penghijauan Malaysia 2021-2025.
“Saya yakin usaha-usaha yang dilaksanakan ini dapat memastikan proses pembangunan negeri yang seimbang dengan pengekalan kelestarian alam,” tambahnya. – TVS