TAHAP liputan rangkaian generasi keempat (4G) di kawasan berpenduduk mencecah 94 peratus setakat akhir Ogos lepas.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kejayaan ini merupakan hasil pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), berbanding 91.8 peratus ketika inisiatif itu mula dilaksanakan pada September 2020.
Bagi tempoh yang sama, purata kelajuan jalur lebar mudah alih negara juga menunjukkan peningkatan dengan mencapai 29.14Mbps berbanding 25Mbps sebelum itu.
“Sejumlah 6.255 juta premis pula telah diliputi dengan rangkaian gentian optik berbanding 4.95 juta premis pada Sept 2020.
“Perkembangan ini susulan tindakan proaktif kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan dalam negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Di bawah Pelan JENDELA fasa satu, sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu akan dibina di kawasan bandar dan luar bandar bermula suku akhir tahun ini.
Turut dilaksanakan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) di 839 lokasi di kawasan kurang berpenduduk di pedalaman pada suku keempat 2021 bagi meningkatkan capaian liputan internet.
“Perkembangan memberangsangkan pelaksanaan Pelan JENDELA didorong sokongan padu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), kerjasama pihak industri serta komitmen kerajaan dalam memastikan kesalinghubungan internet yang lebih baik, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi digital negara,” ujarnya.