Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Berdepan risiko kematian, warga emas bersyukur ambil vaksin

KUCHING, 30 September — Seorang warga emas berusia 74 tahun yang lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 bersyukur kerana hanya mengalami gejala ringan selepas didapati positif wabak itu.

Endot Airuddin, 74, berkata sebagai warga emas yang berdepan risiko kematian tinggi sekiranya dijangkiti COVID-19,  perasaan terkejut, takut dan gelisah sentiasa bermain dalam fikirannya namun dia bernasib baik  hanya mengalami batuk, selesema dan demam.

Melihat apa yang berlaku kepadanya, dia menasihatkan orang ramai untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 sebagai langkah mengurangkan risiko gejala teruk sekiranya dijangkiti wabak itu.

“Secara peribadi saya hanya alami gejala ringan setelah positif walaupun di usia 74 tahun. Vaksin ini juga telah menyelamatkan saya serta keluarga lain yang positif dan saya minta mereka yang belum ambil atau ada keraguan untuk segera ambil,” katanya kepada Bernama.

Endot yang positif virus itu pada 14 Sept lepas berkata, tiga lagi ahli keluarganya yang lain turut positif selepas menjadi kontak rapat kepada cucunya yang positif COVID-19 dan kesemua mereka yang menerima dua dos vaksin hanya mengalami gejala ringan.

Mengenai mereka yang enggan menerima vaksin, Endot berkata dia berasa hairan dengan sikap golongan tersebut dan berharap mereka mengambil iktibar atas apa yang berlaku kepadanya.

“Saya harap mereka dapat ambil iktibar dari kisah saya dan keluarga. Jika takut kehilangan keluarga ambil vaksin tanpa prejudis,” katanya dan menambah dia telah membuat keputusan tepat  untuk mengambil vaksin COVID-19 pada Jun lepas.

Dalam usaha mengukuhkan lagi perlindungan golongan berisiko tinggi dalam mendepani COVID-19, Sarawak juga akan memulakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 pada Oktober sekali gus menjadi negeri pertama memulakan inisiatif berkenaan.

Pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin itu memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Asri Said berkata pemberian dos penggalak sangat penting buat mereka yang berusia 60 tahun ke atas terutamanya bagi mengurangkan jumlah kes kritikal.

Menjelaskan keperluan pemberian dos penggalak, beliau berkata ia dapat dilihat daripada pengalaman negara lain, walaupun mempunyai kadar vaksinasi tinggi masih berdepan peningkatan kes baharu.

“Ada bukti menunjukkan bahawa penurunan imuniti dari vaksinasi mungkin satu daripada penyebab lonjakan kes berlaku. Contohnya, Israel yang mana kadar vaksinasi adalah tinggi dan pada satu tahap mencatatkan penurunan kes COVID-19.

“Tapi pada beberapa bulan lepas, kes di Israel dilihat meningkat. Menurut data yang dikeluarkan baru-baru ini di Jurnal New England Medical turut menyokong pemberian suntikan dos penggalak kepada mereka berusia 60 tahun ke atas.

“Berlaku penurunan kadar mereka disahkan positif COVID-19 dan mengalami gejala teruk (berikutan diberi suntikan dos penggalak),” katanya.

— BERNAMA 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan