BINTANGOR, Sept 29: Gara-gara mahu memetik buah langsat, seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas apabila terperangkap hampir sejam di dahan pokok di Jalan Kelupu, Bintangor.
Ketika kejadian pada kira-kira jam 9 pagi Rabu tersebut, mangsa yang berusia 61 tahun itu dipercayai memanjat pokok itu kira-kira jam 9 pagi sebelum kakinya tergelincir dan tersangkut di celah dahan pokok berkenaan.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa bernasib baik apabila kejadian itu disedari oleh jirannya yang terdengar jeritan mangsa meminta pertolongan.
“Sejurus selepas menerima panggilan, sebuah jentera bomba dengan kekuatan enam anggota telah bergegas ke lokasi, tiba di lokasi kejadian, didapati benar seorang lelaki berumur 61 tahun terperangkap di celahan dahan pokok langsat.
“Pokok langsat tersebut adalah berketinggalan lebih kurang enam meter,” katanya.
Nicholas berkata, sebaik mendengar jeritan lelaki terbabit, jirannya cuba membantu mangsa namun tidak berjaya.
Berikutan itu katanya, dia bergegas menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Kejadian disedari oleh penduduk yang tinggal bersebelahan yang tidak jauh dari lokasi kebun mangsa, turut berada di lokasi kejadian adalah pihak polis.
“Pihak bomba telah berjaya menurunkan mangsa dalam keadaan yang selamat dan tanpa sebarang kecederaan,” tambahnya.
Beliau menjelaskan, selain pelitup muka dan sarung tangan, pasukan bomba juga menggunakan tangga untuk menurunkan mangsa.
Ujarnya, operasi selesai sepenuhnya pada jam 12.45 tengah hari.