Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tiada kebocoran empat juta data peribadi rakyat – KDN

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 29 Sept : Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan tidak berlaku kebocoran data peribadi milik empat juta rakyat Malaysia seperti yang didakwa oleh satu forum dalam talian baru – baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengambil tindakan segera selepas perkara itu dibangkitkan termasuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan jika terdapat kebocoran.

” JPN telah melakukan siasatan dalaman yang mendapati tiada kes kebocoran berlaku malah sistem keselamatan yang digunakan oleh agensi itu juga agak kuat untuk melindungi data peribadi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan watikah perlantikan kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah di Bukit Aman hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Jelas Hamzah, isu berkenaan mendapat perhatian hingga ke luar negara selepas forum berkenaan mendakwa wujud kegiatan penjualan data rakyat Malaysia yang diperolehi daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendapat akses menerusi sistem perkongsian myIdentity milik JPN.

” Forum itu mendedahkan data peribadi itu milik rakyat Malaysia yang lahir pada tahun 1979 hingga 1998 dan dijual menggunakan mata wang digital atau bersamaan nilai RM35 495,” katanya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, LHDN bukan agensi kerajaan tunggal yang mendapat akses myIdentity untuk membuat pengesahan maklumat peribadi rakyat malah JPN turut berkongsi akses sistem itu dengan 104 agensi kerajaan lain namun yang benar -benar menggunakannya kurang 100 agensi.

” Sehubungan itu, KDN akan melakukan pemutihan bagi memastikan agensi – agensi kerajaan lain yang tidak begitu memerlukan data peribadi rakyat supaya dikeluarkan dari senarai yang mendapat perkongsian maklumat daripada JPN,” katanya.

Jelasnya, pada masa sama, polis akan melakukan siasatan terperinci jika benar wujud kebocoran maklumat bagi mengenal pasti puncanya.

” Polisi penggunaan myIdentity ialah pihak yang diberi kebenaran tidak dibenarkan berkongsi data itu dengan pihak lain,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan