SIBU, 29 Sept : Misteri bau busuk di hadapan rumah sejak beberapa hari lalu, akhirnya terjawab dengan penemuan mayat reput seorang lelaki di dalam sebuah perahu.
Mayat tersebut ditemukan di sebuah pondok menyimpan perahu di Jalan Lilin, Sibu di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat berkata mayat lelaki dikenali sebagai Philip Nikal berusia 36 tahun itu ditemui pemilik pondok tersebut yang terletak di tepi Sungai Seduan iaitu lebih kurang 30 meter di hadapan rumah pengadu pada jam 11.30 pagi Selasa.
“Pihak polis dari Balai Polis Sungai Merah telah menerima panggilan daripada seorang pengadu memaklumkan telah menjumpai mayat dalam perahu di sebuah pondok dihadapan rumahnya.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pihak kami mendapati mayat seorang lelaki berseluar pendek dan berbaju gelap ditemukan terbaring dalam keadaan reput, busuk dan badannya dipenuhi ulat,” katanya ketika dihubungi TVS.
Selepas itu, pasukan Bomba dan Penyelamat membantu membuat proses sanitasi ke atas mayat tersebut sebelum pemeriksaan dilakukan.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada kesan yang mencurigakan atau unsur-unsur jenayah dan mangsa dianggarkan telah meninggal dunia lebih kurang satu minggu berdasarkan keadaan mayat tersebut.
Berdasarkan siasatan lanjut, polis juga menemui barang peribadi mangsa termasuk bag sandang yang mengandungi kad pesakit dan no telefon majikannya.
“Pihak kami telah dimaklumkan oleh majikannya bahawa si mati bekerja sebagai penjaga kapal lebih kurang tiga tahun yang lalu.
“Menurutya, si mati mempunyai penyakit tibi atau batuk kering dan dia sering menghantar si mati menerima rawatan susulan di hospital Sibu.
“Kali terakhir majikannya melihat si mati memakai baju yang sama ketika dia berhenti kerja seminggu yang lalu,”
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu sementera menunggu keputusan saringan COVID-19 dikeluarkan.
Polis kini sedang berusaha mengesan ahli keluarga mangsa untuk melengkapan siasatan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – TVS