KUCHING, 29 Sept: Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan pendekatan pembangunan ekonomi baharu yang berasaskan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan merujuk semula kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Katanya, ini kerana saiz negeri Sarawak adalah besar, maka struktur ekonomi negeri ini juga berlainan jika berbandingkan dengan Semenanjung.
“Kita (Sarawak) berasaskan kepada sumber dan keunikan…jadi sebab itu saya katakan ada berhubung kait dengan MA63 yang mengatakan Malaysia terbentuk daripada tiga wilayah sebab dahulu adalah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Jadi pendekatan ekonomi kita mesti berteraskan wilayah dan ia berlainan kalau mengikut negeri kita (Sarawak)…kawasan Baram sebesar Pahang, jadi diikutkan mesti diubah,” katanya setelah meninjau tapak projek bangunan tambahan SK Merpati Jepang di sini, petang tadi.
Katanya lagi, buat masa ini pendekatan ekonomi masih menggunakan pendekatan lama yang menbahagikan peruntukan pembangunan mengikut negeri-negeri.
Dalam pada itu, katanya, bangunan tambahan SK Merpati Jepang yang sedang dalam pembinaan dijangka siap dalam bulan April 2022.
Sebelum meninjau perkembangan semasa kawasan tapak projek, terlebih dahulu Abang Johari telah diberikan taklimat ringkas mengenai perkembangan projek oleh Pengurus Wilayah Selatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Chang Kueh Chin.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong dan Pengarah JKR Sarawak, Zuraimi Sabki.