KUCHING, 28 Sept: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Penganjur Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-85 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Demak Jaya, di sini, pagi tadi.
Kunjungan yang diketuai oleh Menteri Utiliti, merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan tersebut, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom bertujuan untuk memaklumkan dan menjemput serta memohon perkenan kehadiran Tun Taib dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib ke majlis-majlis yang diadakan sempena Sambutan Hari Lahir ke-85 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak bermula 8 hingga 10 Oktober ini di Kuching.
Majlis akan diadakan secara hibrid serta mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak khususnya berkenaan dengan kehadiran tetamu.
Antara majlis yang bakal dilangsungkan adalah Majlis Kesyukuran yang akan diadakan di Masjid Jamek, Kuching, Majlis Istiadat Rasmi, Istiadat Pengurniaaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak, yang akan diadakan di Dewan Undangan Negeri Baharu dan Majlis Jamuan Negeri yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).