MUKAH, 28 Sept: Seorang pemandu lori tangki ditahan oleh polis di sekatan jalan raya simpang Matadeng, Jalan Mukah-Balingian. selepas dia didapati membawa muatan minyak diesel tanpa dokumen sah.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, berkata lori terbabit membawa muatan minyak diesel sebanyak 16,000 liter yang dianggarkan bernilai RM34,400.
“Pemandu, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun, telah ditahan dan diserahkan kepada KPDNHEP Bahagian Mukah serta barang rampasan.
“Selain minyak diesel, lori tangki 12 tan turut dirampas. Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk lori terbabit adalah RM94,400,” katanya ketika dihubungi TVS.
Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya di bahagian Mukah, akan bekerja sama dengan agensi-agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen untuk menguatkuasakan peraturan dan juga undang-undang. – TVS